Aug 21, 2020 - FASSemalam telah berlangsung program THE CLASH, hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Selangor, FAS dan pasukan sukan elektronik tersohor negara, Team Bosskurr di FAS Training Centre, Shah Alam. Program amal ini adalah satu inisiatif perlawanan e-sukan, PUBG dan bola sepak 5 sebelah yang disiarkan secara langsung di Facebook untuk mendapatkan dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan.
Selain itu, program ini juga menjadi titik pertemuan antara atlet sukan bola sepak dan atlet e-sukan untuk berkongsi pentas dan bekerjasama demi mencapai sebuah objektif yang lebih baik.
Presiden FAS, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga turut menyempurnakan acara dengan menjadi sebahagian dari peserta program dan turut berentap bersama-sama pemain pasukan FAS dan Team Bosskurr. Bercakap kepada kami, Tengku Amir sempat menzahirkan rasa gembira atas kerjasama antara FAS dan pasukan sukan elektronik khususnya dalam memberikan lebih banyak manfaat kepada badan yang memerlukan.
"Beta berpendapat, ia adalah satu program yang bagus kerana ia adalah program kolaborasi pertama dengan pasukan teratas dalam kancah e-sukan di Malaysia, Team Bosskurr. Kita pernah melakukan beberapa program e-sukan yang lain, tetapi untuk PUBG, ini adalah yang pertama. Beta percaya, penyokong Gergasi Merah dan peminat PUBG juga teruja dengan program hari ini."
"Yang paling penting, kutipan dari program THE CLASH ini juga akan disalurkan kepada badan kebajikan untuk membantu mereka ketika pandemik COVID-19 ini sedang melanda,” tambah Tengku Amir.
Program ini ternyata mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila mendapat lebih 485,000 tontonan dalam masa 2 jam sewaktu ia disiarkan secara langsung di Facebook FA Selangor dan atlet e-sukan negara, Soloz. Dalam siaran secara langsung ini, penonton disajikan dengan aksi pertempuran permainan PUBG dan bola sepak disamping mereka boleh menghulurkan derma sepanjang siaran berlangsung.
Lebih menarik, program ini juga berjaya mendapat sokongan dari organisasi dan syarikat swasta lain seperti Selangor Youth Community (SAY), Dominos Pizza Malaysia, Sugarbomb dan Fitech.
Pada penghujung program, dana terkumpul dari siaran langsung tersebut telah diserahkan kepada wakil dari Agape Vision, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Sukarelawan Visi Remaja Selangor dan Kuala Lumpur, yang telah 10 tahun beroperasi dan telah membantu ratusan remaja untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya.